Tuesday 14 May 2024

Catatan Hujung Minggu

Catatan hujung minggu saya…

SABTU | Waktu petang saya dan Encik Suami bergotong-royong membersihkan rumput di sekeliling rumah yang telah dipotong pada hari Selasa lalu. Saya kumpul rumput kering di beberapa tempat dengan menggunakan penggaruk, manakala Encik Suami pula angkut rumput yang dikumpul dengan pongkes, letak setempat dan bakar. Penat jugalah sebab kawasan rumah ni luas.

Beginilah kehidupan di rumah dalam suasana kampung, lebih banyak kerja perlu dibuat sama ada di dalam atau di luar rumah. Memang berbeza sungguh sewaktu tinggal di rumah apartment dan rumah teres taman perumahan.

Untuk rekod - sebelum ini rumput dipotong sebulan sekali, tapi kali ini hampir tiga bulan barulah dipotong. Sebabnya, rumput keliling rumah semuanya mati akibat kekeringan sewaktu musim kemarau lalu. Rumput mulai tumbuh hijau semula apabila musim kemarau berakhir pada penghujung Mac. Itu pun tak semuanya tumbuh cepat, ada jenis rumput yang cepat meninggi dan banyak juga yang nampaknya ambil masa untuk hidup kembali. Pengalaman baru buat saya.

AHAD | Pukul 10 pagi kami dah berada di Wisma Persekutuan, Alor Setar, Kedah. Ada urusan di tingkat 4. Bagus juga bila dua negeri bersebelahan tetapi cuti hujung minggu berbeza - orang Perlis cuti bolehlah buat urusan rasmi di Kedah yang bekerja pada hari Ahad.

Selesai urusan sudah pun menghampiri pukul 12 tengah hari. Perut sudah minta diisi. Kami makan di kafe bangunan Wisma Persekutuan. Tiada pilihan lain kecuali menu nasi daging. Konsep layan diri, ambil sendiri nasi dan lauk. Alhamdulillah…sedap! Saya suka nasinya lembut dan sedap rasa air asam kerisik. Sebelum ni pernah juga saya merasa hidangan nasi daging, tapi tak kena selera. Kali ni memang sedap. Harga dua pinggan nasi daging, segelas minuman teh o lemon panas dan lemon ais cuma RM16 sahaja.

Alang-alang dah sampai Alor Setar, kami pergilah ke pusat membeli-belah Aman Central. Kalau di Perlis tak ada mall besar begini ya, maklumlah penduduk Perlis katanya cuma lapan orang maka tak perlulah mall besar 😁

Hasil meronda di sini, dapatlah saya membeli sehelai wide-leg straight cut jeans di Uniqlo. Alhamdulillah, seronok dapat juga seluar jeans dengan rekaan dan potongan yang saya mahu - potongan longgar, tak perlu pakai tali pinggang dan material lembut selesa. Bagusnya, Uniqlo juga menyediakan servis alteration kaki seluar secara percuma (bergantung kepada nilai pembelian). 

Tak terus balik ke rumah, Encik Suami ajak jalan-jalan ke Kompleks Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam, Kedah. Kali terakhir kami ke sini pada tahun 2018, masa tu kami masih menetap di rumah NS. Di sini kami ke tempat jualan coklat je, tak membeli banyak pun sekadar buat kudapan kami sendiri. Berkenaan harga, kami pun tak pasti sama ada berbaloi atau tidak membeli di sini.

Tadi semasa pergi, perjalanan begitu lancar. Tapi semasa baliknya, kami perlu beratur panjang kira-kira 45 minit bagi melepasi proses di kompleks imigresen. Silap kami, terlupa hari Ahad mestilah ramai pelancong Malaysia balik dari Thailand. Menurut pegawai imigresen bertugas, situasi begini tidaklah begitu teruk berbanding pada hari cuti umum - barisan lebih panjang dan lebih lama masa menunggu.






.